Mohamadrizal's Blog

Dari Kelantan Ke Melaka

  • Entries

isteri nusyus

Posted by mohamadrizal on June 25, 2009

Guaman: Bayaran nafkah isteri nusyuz Oleh Mohd Faiz Adnan Assalamualaikum Saya tertarik dengan ruangan Guaman yang disiarkan di halaman ini. Saya mempunyai satu persoalan yang diharap pihak tuan dapat membantu. Jika isteri didapati curang, perlukah seseorang suami itu membayar nafkah seperti yang diwajibkan? Mat, Melaka. Jawapan: Pertama sekali, saya mengalu-alukan soalan yang baik dan kesungguhan pihak tuan bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga yang dibina. Persoalan ini bukan saja dapat membuka mata ramai lagi rakyat Malaysia berhubung hal nusyuz dan bentuk tindakan yang patut diambil, malah kita dapat melihat sejauh mana undang-undang Syariah berfungsi dalam memberikan keadilan dan menjaga keharmonian sesebuah institusi keluarga. Hakikatnya, nafkah adalah antara tanggungjawab yang wajib ditunaikan kepada isteri oleh suami sama ada ia berbentuk wang ringgit, tempat tinggal, makanan dan seumpamanya yang dianggap sebagai keperluan bagi isteri. Tanggungjawab membayar nafkah diberikan selepas akad yang sah dan berlakunya persetubuhan antara suami dan isteri dipastikan melalui keperluan dan kemampuan pihak terbabit. Hal ini turut dijamin di dalam undang-undang sekiranya tuntutan dibuat, mahkamah boleh menguatkuasakan perintah nafkah ke atas suami yang cuai untuk membayar nafkah isteri. Bagaimanapun, ada pengecualian bagi isteri yang nusyuz untuk tidak berhak mendapat nafkah seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 59(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303). Curang atau nusyuz ini turut dijelaskan dalam peruntukan sama yang mana pensabitan isteri yang nusyuz boleh berlaku sekiranya dia cuba menjauhkan diri daripada suaminya, meninggalkan rumah tanpa izin dan membuat perkara yang bertentangan dengan kemahuan suami atau enggan berpindah mengikut suami tanpa alasan munasabah dan boleh diterima syarak. Merujuk masalah tuan, isteri curang boleh dikategorikan dalam nusyuz dari segi perbuatan. Nusyuz boleh berlaku melalui dua cara iaitu melalui perkataan dan perbuatan. Nusyuz melalui percakapan boleh berlaku sekiranya seorang isteri itu menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada suami seperti menghina suami. Nusyuz perbuatan pula berlaku apabila pihak isteri menunjukkan sikap kasar yang keterlaluan dan tidak menunjukkan penghormatan kepada pihak suami dan lebih bahaya ialah isteri menjalinkan kelakuan curang dengan lelaki lain. Hal ini secara jelas haram hukumnya. Perlu diketahui juga bahawa sikap curang atau nusyuz ini juga boleh berlaku sama ada di kalangan suami mahupun isteri. Tidak dinafikan, nusyuz boleh berlaku disebabkan sikap isteri, sikap suami atau berpunca dari faktor luaran. Sebaliknya apabila nusyuz terjadi akibat daripada tindakan atau berpunca daripada pihak suami, hak nafkah tidak gugur jika alasan itu dibenarkan syarak atau sebab yang berpunca dari suami. Sebagai contoh, isteri keluar daripada rumah untuk bekerja mencari rezeki yang halal kerana suami tidak memberi nafkah. Begitu pun, hak nafkah isteri berkenaan tidak luput jika dalam keadaan terpaksa dan bertepatan dengan syarak. Sebagai contoh, isteri keluar mencari nafkah yang halal disebabkan suami tidak memberi nafkah atau isteri keluar menuntut ilmu yang wajib atau bertujuan bertanya masalah hukum yang tidak diajar oleh suaminya. Lain pula halnya jika isteri yang keluar bekerja serta sibuk dengan tugasnya sehingga tidak dapat menyempurnakan urusan rumah tangga dan enggan berhenti kerja apabila diminta oleh suaminya untuk berbuat demikian, maka hak nafkah juga tidak harus diberikan. Tindakan yang boleh diambil terhadap isteri nusyuz. Seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 59 Akta 303, isteri yang nusyuz tidak berhak mendapat nafkah dari suaminya sehinggalah isteri kembali menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami. Bagaimanapun, mengikut peruntukan undang-undang, proses untuk mensabitkan dan mengesahkan seorang isteri itu nusyuz serta mengenakan tindakan selanjutnya adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan tuan perlu mendapatkan pengesahan ini terlebih dulu. Ini bermakna pihak tuan tidak boleh menuduh isteri nusyuz sehinggalah satu pengisytiharan dibuat di mahkamah. Dalam masalah ini, tuan boleh memberi keterangan dan menyatakan bukti yang menunjukkan isteri nusyuz di Mahkamah Rendah Syariah yang memang berbidangkuasa untuk mendengar kes nusyuz. Merujuk Arahan Amalan Mahkamah Syariah No 11 tahun 2001 ada menyebutkan mana-mana kes nusyuz hendaklah didengar dalam kes induk dan tidak perlu dibuat secara berasingan. Sehubungan itu, kes nusyuz ini biasanya dijadikan sebagai satu pembelaaan dalam tuntutan perceraian ta’liq atau fasakh yang menggunakan alasan tidak memberi nafkah. Selain itu, undang-undang juga memperuntukkan bahawa jika seorang isteri disabitkan nusyuz, mahkamah berbidangkuasa untuk memerintahkan isteri agar kembali taat kepada suami. Sekiranya seorang isteri dengan sengaja tidak menurut suatu perintah yang diberikan oleh suaminya yang sah mengikut hukum syarak, seorang isteri boleh didakwa di bawah seksyen 129 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan. Bagi tujuan itu, suami bolehlah membuat suatu aduan di mana-mana pejabat agama yang berbidangkuasa untuk suatu siasatan dijalankan dan sekiranya perlu pendakwaan akan dilakukan di Mahkamah. Menurut peruntukan undang-undang yang ada juga, seorang isteri yang sudah disabitkan oleh mahkamah tidak lagi berhak untuk menuntut tunggakan nafkah termasuk nafkah i’ddah sekiranya perceraian berlaku. Begitu juga sekiranya pihak isteri membuat tuntutan perceraian ta’liq atau fasakh dengan alasan suami tidak memberi nafkah, alasan itu tidak lagi relevan untuk diguna pakai. Saya juga ingin memetik kaedah dan penyelesaian berhubung nusyuz ini yang disarankan dalam ayat 34 surah al-Nisa’ yang mana Islam menyarankan dengan menetapkan beberapa langkah yang tuan boleh ambil bagi menyelesaikan masalah nusyuz isteri iaitu pertama, hendaklah dengan cara menasihatinya iaitu dengan memberi peringatan bahawa perlakuannya bersalahan dengan kehendak Islam. Jika ia tidak memberi kesan, maka tuan boleh mengambil tindakan dengan meninggalkan seketiduran dengan isteri dan langkah seterusnya sekiranya isteri tuan masih tidak berubah adalah dengan mengenakan pukulan ringan kepada isteri. Namun perlu diingatkan bahawa pukulan itu bukanlah bertujuan untuk menyakitkan atau menghukum, tetapi pukulan berbentuk disiplin yang tidak mencederakan isteri seperti yang diajar dalam Islam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: